Monday, June 14, 2010

Fun Sikit-sikit

Maaf. Saye sibuk sket lenim.
Jadi saye sediakang sikit bahan saje-saje untuk fun kepade pembace-pembace yang budimang sekeliang~

Cher Jawab soalang di bawoh tersebut dengang perkataang yang bersesuaiang.
Setiap jawapang di berikang sebanyak 5 markah. Sape hok bulih markah paling banyok Cekgu Paiseh belanje ikang pauh celup tepung.
Masa : 10 minit. Sape 'nnipu 'ddose~

1. Perkataan “ Dok Pah” merujuk kepada
( A) Tak Faham
( B) Tak Sedap
( C) Tak Larat
( D) Tak Lulus


2. ‘Tenong’ adalah sejenis?
( A) Kenderaan
( B) Sayur
( C) Kuih
( D) Bekas


3. “Mu la yang saloh, orang suruh wak takdi die xmboh wak”, Perkataan Mu la yang saloh sesuai digantikan dengan?
( A) Pahtu
( B) Dok Tahu
( C) Dekpong
( D) Guane


4. Frasa “Woh smete” membawa maksud,
( A) Wah jahatnya
( B) Buat tak peduli
( C) Buah Manggis
( D) Wah besarnya


5. Perkataan “ Sekke” dalam frasa “ Dok sekke” memberi maksud,
( A) Sangkakala
( B) Seekers
( C) Sangka
( D) Saka


6. Ayat mana yang sesuai jika dialih loghat ke Terengganu, “ Penat sungguh kerja hari ni”
( A) Penak benor keje lening
( B) Letihsang ‘nggoh keje hari ning
( C) Letih mbeng ‘nggoh keje hari ning
( D) Letih perik kite keje hari ning


7. Perkataan berikut memberi makna ‘Tipu’ kecuali
( A) Mussang
( B) Plawok
( C) Lebong
( D) Nawwok


8. Apakah maksud ‘Tunggu Stor’
( A) Jaga line
( B) Tunggu pintu stor
( C) Rileks dulu
( D) Tunggu kejap


9. “Ali membaling batu kearah sekumpulan burung itu” Perkataan ‘Baling’ boleh digantikan dengan perkataan berikut kecuali;
( A) Stik batu
( B) Tago Batu
( C) Plekong Batu
( D) Tang ngo batu


10. Maksud perkataan ‘Kerahsang’
( A) Kaku & tidak bergerak
( B) Terangsang
( C) Kejur
( D) Keras amat sangat


11. “Doh wakpe yang Matli netting smacang tu.” Ayat ini menerangkan Mat Ali yang …..
( A) Melompat
( B) Berlari
( C) Membaiki Net
( D) Terlalu kurus sangat


12. “ Duk atah lassor” memperihalkan perilaku yang sedang berada di_______
( A) kerusi
( B) Dapur
( C) Beranda
( D) Lantai


13. Orang yang suka membawa awek mereka kemana-mana akan dipanggil sebagai _____
( A) Cedding
( B) Ngerrek
( C) Dok malu
( D) Nette


14. Apakah beza Merang ,Marang dan Merghang?
( A) Haiwan,Tempat, Tempat
( B) Tempat,Tempat, Haiwan
( C) Tempat ,Haiwan,Tempat
( D) Haiwan,tempat, Haiwan


15. Seseorang yang nak menghisap rokok memerlukan ______ untuk menyalakan api
( A) Tenong
( B) Mecceh
( C) Bocong
( D) Brekdih


16. “ Dok leh lepe” membawa maksud?
( A) Tak boleh lepak
( B) Tak boleh dinilai
( C) Tak boleh diharap
( D) Tak leh cakap sebarang


17. Apakah sambungan bagi frasa Komang?
( A) Koman skrudrebar
( B) Komang playar
( C) Komang stangguk
( D) Komang Spanar


18. "Mung nok kene enjja?" Apakah maksud enjja?
( A) Tampar
( B) Tumbuk
( C) Terajang
( D) Marah


19. Buruk_____
( A) Khekkong
( B) Lepppok
( C) Kohong
( D) Nayyang


20. Cerlong, membawa maksud?
( A) Menegur dengan kasar
( B) Memandang dengan pandangan sinis
( C) Memandang dengan pandangan garang dan kasar
( D) Menghidu dengan enak


21. “ Woh…jangang wak gittu…settok aku..” ..Apa maksud settok?
( A) Terkejut
( B) Hilang Sabar
( C) Marah
( D) Berdebar kuat


22. Apakah itu Ogak-ogak?
( A) Sayuran
( B) Buahan
( C) Sayur Ulam
( D) Serangga/ulat


23. Perkataan Tubek membawa erti?
( A) Tak tentu pasal
( B) Masuk
( C) Lalu Lalang
( D) Keluar


24. Permukaan yang rata
( A) Lewo
( B) Leweh
( C) Smabo
( D) Lese


25. “Jerebok” Pilih ayat yang sesuai utk maksud jerebok…
( A) Ali memakai kasut berjenama Jerebok
( B) Ali jerebok dengan lembaga
( C) Ali jatuh jerebok dari atas pokok
( D) Ali berjerebok kedalam sungai


26. Kata ganda bagi Sakit?
( A) Sakit tayya
( B) Sakit gelekek
( C) Sakit puih
( D) Sakit nayyang


27. Maksud perkataan "Dok Imboh"
( A) Tak Untung
( B) Tak merasa
( C) Tak cukup
( D) Tak berbaloi


28. Rasa-rasa macam nak pitam je aku ni....ayat yang paling Tranung...
( A) Rasse nok pitang starang baroh
( B) Perasaang nok pitang aku ni
( C) Wassaang nok pesang starang baroh aku ni...
( D) _______________ (ayat sendiri)


29. Ali tiba-tiba tertidur....'Tertidu'r sesuai digantikan dengan perkataan?
( A) Khellak
( B) Ngekkeng
( C) Khembek
( D) Nembbo


30. Perkataan Glewa'k menerangkan perihal....
( A) Seseorang yang sedang membuat lawak
( B) Seseorang yang terbatuk-batuk
( C) Seseorang yang sedang menggeliat-geliat
( D) Seseorang yang termuntah



Jawab 'mmolek. Sape-sape yang bukan Tranung bulih tanya member-member atau pok mertua.


Soalang bonus : Berapa keping kopok gete dalang gambor?



Tinggal jawapang dalang kotok komeng.
Kekgi Cekgu Paiseh rait~

Thursday, June 10, 2010

Perkampungan Keropok Losong


Dah episod akhir kisah pengembaraan Firdaus Yunan dan saya ke Terengganu awal Mei hari tu. Biasa lah. Kalau dah hari last tu mesti mahu beli ole-ole punya. Dan ole-ole dari Terengganu yang paling berharga tak lain tak bukan adalah keropok lekor. Satu Malaya dah tau.

Asalnya perniagaan gerai-gerai kecil, Kampung Losong telah dimajukan menjadi pengkalan bekalan keropok lekor secara komersil diberi nama Perkampungan Keropok Losong. Tahniah Kerajaan Terengganu. Ibarat 'one-stop-center', perkembangan ini banyak memberikan manfaat bukan sahaja kepada para pelancong malahan juga penduduk setempat. Memang sepanjang jalan terdapat gerai-gerai menjual keropok dan hasil laut.

Bila terjumpa banyak label sebegini di kiri dan kanan anda,
sah lah
anda sudah berada di Perkampungan Keropok Losong.
Di Islamabad tak ada benda-benda macam ni.

Terletak hanya kira kira 2 kilometer di pinggir Bandaraya Kuala Terengganu, kawasan ini memang mudah dijumpai. Perhatikan saja papan tanda sekitarnya. Tak payah pakai GPS pun tak apa.

Papan tanda sebegini memang banyak kelihatan. Usah risau. Ikut saja.
Pusing-pusing pun boleh sampai.


Jam duabelas tengahari kami bergerak dari rumah saya ke Losong. Sangkaan saya untuk jadi golongan awal memborong keropok meleset sama sekali. Tiba saja di gerai kegemaran saya, iaitu kedai Pak Su, orang ramai sudah berkerumun. Bas pelancong saja ada tiga buah. Tak apa. Saya sanggup tunggu. Keropok kat sini lain macam sedapnya bagi saya. Terpulanglah pada anda pula.

Abang kacak baju kelabu mundar mandir tak puas hati.
Ada lagi tiga buah bas tak masuk dalam gambar.
Betapa ramai nya pelanggan walaupun cuti tak lama.

Ralit juga menonton penggetelan keropok lekor secara langsung. Dapurnya hanya di belakang kaunter jualan. Memang mustahak untuk meyakinkan pembeli tentang tahap kebersihan dan ketelitian penghasilan sebatang keropok lekor.


Golongan muda seperti makwe ini juga cenderung melibatkan diri
dalam perusahaan keropok. Lagi 3-4 tahun boleh jadi tokei ni saya syak.
Lain macam dia punya bersungguh. Firdaus Yunan swit pun beliau tak layan.


Tak hanya keropok, lain-lain hasil laut pun boleh didapati di sini.
Sotong kering ni contohnya. Bukan 'sotong' yang satu lagi tu ye!


Punya lah sibuk kaunter membeli hari tu. Mengalahkan
kaunter Tabung Haji dah.

Dari pengamatan saya, amat mudah untuk membuat keropok lekor. Cuma air tangan saja yang menentukan rasa 'losong' itu sendiri. Jika tak percaya, boleh cuba kaedah di bawah.

Bahan-bahan ( 10 org )

  • 1 kilo ikan kembung/ selayang
  • 500 g tepung kanji/ubi @ seeloknya tepung sagu
  • sedikit garam
  • beberapa ketul kiub ais/air batu
  • Air secukupnya (agak2 le)

Cara-cara

  1. Asingkan isi ikan dari tulangnya, kemudian tumbuk @ cincang halus2.
  2. Sambil tumbuk halus isi ikan tadi masukkan kiub ais tadi sikit demi sikit.
  3. Gaulkan tepung bersama dengan isi ikan tadi sambil masukkan sedikit garam dan air.
  4. Akhir sekali uli bahan2 tadi bentuk kan menjadi bulat memanjang dan rebus kedalam air mendidih. bila dah timbul angkat , sejukkan dan bolehlah goreng dan makan.

Senang bukan? Tinggal sama ada rajin atau malas saja. Saya rajin kadang-kadang saja bab masak-masak ni. Jangan tiru.


Jangan lupa. Air masak juga amat mustahak
dalam penghasilan keropok lekor.

Monday, June 7, 2010

Bas Ekspress KL Ke Pantai Timur



Hasil carian daripada internet yang memautkan ke blog ini.
Baiklah. Saya terangkan...


Tapi bukan ke pantai timur. Saya bagi informasi khusus untuk ke Terengganu dari Kuala Lumpur sahaja memandangkan blog ini khas untuk Terengganu dan Kuala Lumpur adalah ibunegara.

Transnasional - Syarikat bas ekspress nasional yang sudah terkenal di seluruh semenanjung. Menyediakan perkhidmatan hampir ke semua destinasi utama termasuklah bandar-bandar utama di Terengganu. Terdapat dalam versi dua tingkat.

Ekspress Sani - Mula beroperasi sekitar 2006, Ekspress Sani ini merupakan syarikat bas yang paling cepat maju berbanding syarikat lain. Faktor keselesaan dan perkhidmatan yang cekap dan efektif membolehkan syarikat ini mudah mendapat perhatian di kalangan penumpang. Berpengkalan di Terengganu, kini perkhidmatan bas ini mula mengorak langkah le destinasi lain di semenanjung. Juga terdapat dalam versi dua tingkat.

SP Bumi - Mulanya hanya menyediakan perkhidmatan bas henti-henti sekitar dalam negeri. Bermula sekitar 2006 juga, SP Bumi mula menawarkan perkhidmatan bas ekpress dari Kuala Lumpur ke Terengganu. Selesa dan mantap. Juga terdapat dalam versi dua tingkat.

Cepat Ekspress - Boleh tahan cepat juga bas ni. Mulanya hanya untuk ke Kemaman. Dan sekarang sudah meluaskan empayar ke seluruh Terengganu dan juga le utara semenanjung.

Ekspress Mutiara - Majoritinya ke Kelantan. Tetapi sudah banyak ke Terengganu sekarang. Jika mahu ke utara Terengganu, sesuai menaiki bas ini kerana banyak hentian akhirnya adalah di Besut.

Ekspress Sutera - Antara perkhidmatan bas paling awal ke Terengganu. Banyak jasanya kepada saya dulu sebab tiap kali mahu balik kampung ketika cuti semester, inilah pilihan utama saya. Satu-satunya bas warna ungu metallic saya pernah nampak.

Mara Liner - Bernaung sepenuhnya di bawah Majlis Amanah Rakyat, syarikat bas ekspress ini menawarkan perkhidmatan ke banyak denstinasi di seluruh semenanjung. Dulu, mana-mana pelajar yang menuntut di IPT tajaan mara boleh mendapatkan diskaun tiket sehingga 50%. Sekarang, tak pasti pula saya sistem ini masih digunapakai atau tidak.

Adik Beradik - Bas ekspress utama untuk ke Johor satu ketika dulu. Sekarang sudah beroperasi ke Kuala Lumpur dan utara semenanjung. Cantik dan selesa juga.

Konsortium Bas Ekspress Semenanjung - Tak tahu pula saya kenapa mahu pakai nama panjang-panjang. Asik saya sebut 'kontrium' saja nak kasi mudah sebutan. Juga menawarkan perkhidmatan ke destinasi-destinasi utama Semenanjung.

Ekspres Tasik Kenyir - Satu-satunya perkhidmatan bas ekspress ke Tasik Kenyir. Untuk sesiapa yang mahu ke daerah pedalaman Terengganu seperti sekitar Hulu Dungun dan Hulu Terengganu, lebih senang menaiki bas ini kerana laluannya yang berbeza dengan lain-lain bas ekspres. Lebih dekat anda dengan destinasi yang dituju.


Itulah serba sedikit dapat saya terangkan untuk tajuk di atas. Jika ada yang tak cukup sila tambah. Harga tiketnya adalah sekitar RM40 bergantung kepada bas mana yang anda naiki. Waktu bertolak adalah dari 8:00 pagi hingga jam 11:30 malam. Dari Kuala Lumpur, anda boleh mendapatkan tiket di kaunter bas ekpres di Hentian Putra (berdekatan PWTC) atau pun di Greenwood, Gombak (bergantung kepada syarikat bas). Di Puduraya pun ada juga tetapi tidak banyak pilihan. Untuk yang ke Kuala Terengganu, hentian akhir adalah di Hentian Bas MPKT di tengah-tengah bandaraya. Strategik tak patut!

Puluh saja mana yang berkenan di hati. Yang penting berhati-hati di jalan raya
dan sentiasa doakan perjalanan anda selamat dan sejahtera.



Jika anda tiba awal pagi cubalah nasi dagang di satu-satunya gerai 24 jam di situ. Saya tak pernah ketingglan. Sedap hingga menjilat daun pisang~
Pengalaman saya di situ satu masa dulu...


Tengah2 sedap suap nasik dagang dengan kuah banjir, saya perati sorang mamat nih. Mamat nerd. Pakai sluar slack sama t-shirt kolar tuck-in pepagi buta. Kasut badminton. Budak luar saya syak.

Dia : Berapa pakcik? Nasi lemak satu. Teh o satu.


Tokei: Aa... singgit pat o'seng.

Dia : Aa..??

Tokei: Singgit pat ploh seng.


Dia : Ye ke? Murahnya..!

Tokei: Nak mahal awok gi denung ah.. Hotel Primula.



Hakhakhakhkahakhak... saya gelak sampai tersembur nasi ikut idung.

Tuesday, June 1, 2010

Lagun Kuala Ibai



Lepas ke Sekayu, petangnya Firdaus Yunan dan saya pergi mengambil angin ke Kuala Ibai pula. Adik-adik, saya tinggalkan di rumah. Banyak lagi kerja sekolah diorang kena buat. Dengan cuaca yang masih panas macam di Texas, saya memacu kenderaan nasional ke Kuala Ibai. Mana lagi tempat paling enak berehat-rehat di sini selain Lagun Kuala Ibai.

Terletak berhampiran dengan Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung, lokasinya memang sangat mudah. Jika dari Chendering atau Bandar Marang, selepas anda menaiki Jambatan Kuala Ibai, terus belok ke kanan selepas jumpa lampu isyarat. Sebenarnya dari atas jambatan pun sudah boleh nampak Masjid Terapung yang putih macam kapas tu. Masuk melalui pintu gerbang masjid, teruskan perjalanan ke depan dan anda sudah sampai. Senang bukan? Dijamin 100% tak sesat!

Di sini, anda boleh bersantai dengan riang ria bersama keluarga. Boleh mandi pantai. Main pasir. Memancing. Beriadah. Melihat nelayan dan bot-bot. Ketuk kepala adik pun boleh. Eh. Saya begurau saja. Jangan amalkan~ Ada juga penjaja menjual keropok dan minuman jika perlukan kudapan. Aiskrim pun ada. Jika kena masanya, anda juga boleh melihat kuda yang dibawa bersiar-siar oleh kakitangan Terengganu Equestrian Resort berdekatan. Bersebelahan saja tempatnya.

Sesekali pekena baring di hutan pokok rhu di sini memang sangat tenang 'feel' dia. Sesuai sangat jika mahu berdendang Watimang Landak sekali sekala. Angin pantai yang sepoi-sepoi bahasa buat saya hampir tertidur di tengah-tengah masyarakat. Nasib baik tak kena pijak dengan kuda.



Pemandangan dari jalan masuk ke lagun. Mata memang tak boleh
lepas dari melihat keindahan senibina Masjid Terapung ni.



Kuala Sungai Ibai. Hanya satu bot yang tak pergi kerja.
Mungkin rosak ataupun tuannya ambil cuti sakit
saya rasa.



Kawasan mandi manda yang selamat untuk kanak-kanak.
Cetek. Tak berombak. Yang paling penting teduh. Tak ada la mak bapak
yang risau anak mereka jadi hitam terbakar.




Kawasan pinggir kuala yang memang direka untuk aktiviti memancing.
Golongan makcik pun ada juga yang turut serta. Jarang-jarang boleh nampak ni~




Pemandangan Jambatan Kuala Ibai dari lagun. Nampak saja lurus tapi
sebenarnya agak bengkok sedikit. Agak hebat kejuruteraannya.
Jika malam lagi cantik pemandangannya. Malangnya saya tak berkesempatan~




Duduk-duduk baring di hutan pokok rhu memang mendamaikan.
Dengan pemandangan laut yang permai dan masjid di kiri dan kanan,
rasa tak mahu berganjak langsung~



Abang kacak menunggang kuda. Di mana-mana boleh nampak kuda.
Macam sudah sinonim Terengganu dengan kuda sekarang.
Terima kasih DYMM Sultan Mizan. Daulat Tuanku!

Sunday, May 30, 2010

Sekayu

Satu kayu.. dua kayu.. tiga kayu..
Bukan. Bukan.. saya main kira-kira saja. Mari saya ceritakan hari ketiga saya dan Firdaus Yunan ke Terengganu hari tu. Kami pergi bawa adik-adik saya pergi mandi air terjun di Hutan Lipur Sekayu. Firdaus Yunan tak mandi. Beliau takut air. Macam kambing~


Banyak papan tanda seumpama ini dari Kuala Berang. Dijamin tidak sesat.
Belukar Bukit tu pun best juga. Lain kali saya ceritakan.
Belum pergi macamana mahu mengulas kan?



Hutan Lipur Sekayu terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu atau 50 kilometer dari Bandaraya Kuala Terengganu. Bas dan teksi ada disediakan untuk ke Bandar Kuala Berang. Seterusnya sila ambil teksi untuk ke kawsan rekreasi ini. Tapi lebih baik jika anda mempunyai kenderaan sendiri demi memudahkan perjalanan pergi dan balik. Kawasan letak kereta pun luas. Tak ada masalah langsung. Tiket masuk semurah satu ringgit Malaysia sahaja dikenakan. Sungguh tak rugi. Anggap saja sedekah.


Jalan ke pintu masuk dari jalan besar. Hijau saja di kiri kanan. Damai bukan?


Di hujung jalan, anda akan terjumpa pintu gerbang ini.
Sediakan tambang seringgit dan mulakan pengembaraan.
Oh ya. Bagi motosikal, masuk adalah percuma.


Hutan Lipur Sekayu ini dibuka pada 1974 dan dilancarkan secara rasminya pada 1985 oleh Y.A.B Menteri Besar Terengganu ketika itu, Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Ahmad. Tak hanya air terjun, di sini juga terdapat kawasan hutan simpan di mana flora dan faunanya masih terpelihara dan juga taman pertanian. Masa sekolah-sekolah dulu sempat juga saya datang berkhemah di sini. Ada kem motivasi masa tu. Memang tak boleh lupa lah subuh-subuh hari dah kena mandi air terjun. Beku otak oh!

Balik kepada pengembaraan Firdaus Yunan tadi. Pukul sebelas setengah pagi kami sampai di sini. Sudah saya agak ramai pengunjung hari itu. Mahu cari parking kereta pun kena pusing 3-4 kali. Lepas meletak kereta, laju-laju adik-adik saya berlari keluar tak sabar mahu mandi. Saya kasi tarik telinga sekali sorang. Upah degil. Kalau jatuh nanti saya juga susah.

Sepanjang perjalanan dari pintu masuknya terdapat banyak chalet tumpangan khas untuk mereka yang mahu bermalam di sini. Saya kira-kira ada dalam 25 buah. Dan semuanya penuh. Memang ramai lah hari tu. Sempena cuti hari pekerja saya syak. Tak ada port langsung untuk mandi manda. Adik-adik saya dah mengeluh tapi saya buat-buat tak faham dan meneruskan perjalanan ke tingkat air terjun yang lebih atas. Nasib baik ada 3 tingkat sahaja. Kalau tak, saya pun ragu-ragu juga. Sepanjang perjalanan, terdapat juga mini zoo di mana banyak spesis-spesis burung, ikan dan haiwan-haiwan lain ditempatkan di dalam sangkar. Terdapat juga taman herba di mana spesis-spesis floranya ada dilabel dengan nama pokok tersebut sekali dengan nama saintifiknya. Memang boleh tergeliat lidah saya kalau mahu baca.


Chalet nombor 10. Senduduk putih namanya. Boleh tahan senibinanya.
Sesuai untuk yang mahu berteduh dan salin baju.



Sampai di tingkat paling atas, adik-adik saya terus masuk ke air tanpa arahan. Biarlah. Saya kasi can. Dengan budak-budak kena berlembut juga sekali sekala. Firdaus Yunan pula teruja main ambik-ambik gambar. Dari atas, memang boleh nampak ramai sangat manusia hari tu. Ramai yang mandi manda. Ada yang berpikinik. Ada yang main panggang-panggang bbq. Ada juga yang main-main masuk hutan. Geng outdoor barangkali. Saya dah pernah menyertai ekspidisi masuk hutan di sini masa sekolah-sekolah dulu. Agak mencabar juga treknya. Naik bukit turun bukit juga lah. Tapi senang-senang saja saya bertahan sampai jalan keluar. Gagah la katakan.


Pemandangan dari tingkat dua. Sungguh penuh hari itu.
Tapi sedikit sayang. Makwe-makwe tak berapa nak ada.



Pondok istirehat. Penat-penat mendaki boleh berhenti ambil nafas di sini.
Jangan bimbang. Kejuruteraannya kukuh. Saya dah uji.



Di tingkat tiga. Airnya macam musim sejuk di Arizona.
Kami santai di sini saja. Adik-adik saya tak tahu berenang. Bahaya!



Air di tingkat paling atas ni memang lain macam segarnya. Walaupun dah tengahari buta, tahap kesejukannya masih di tahap ais parut. Jernihnya pula macam cermin kereta baru keluar car wash. Jika dahaga jangan ragu-ragu untuk minum terus. Air bukit memang terjamin kebersihannya. Sejam mandi-manda main air, adik-adik saya mula kecut-kecut kesejukan. Lapar katanya. Saya sengaja tak bawa makan sebab dah tau selagi tak lapar, mereka takkan balik. Jangan tiru taktik ini. Sayangi adik-adik anda.


Kalau bab main air memang serah saja lah kat budak-budak ni.
Tengah demam pun nak mandi juga. Nasib baik saya sporting.

Oh. Seluar biru tu tiada kena mengena dengan saya. Saya M.U.F.C.


Firdaus Yunan kepanasan. Mahu saja saya tolak biar masuk air terus.
Dua kali fikir tak relevan pula. Kereta saya juga yang basah nanti.


Pulang. Sempat juga main lari-lari di jambatan gantung.
Sebelah sana adalah tapak perkhemahan.

Thursday, May 27, 2010

NACC

Pintu masuk ke kompleks utama. Ada dua tingkat. Sudut pameran, kedai jualan dan
koleksi batik dan songket di tingkat atas manakala tingkat bawah adalah
sudut demonstrasi batik dan kraf lain. Nampak kosong tapi dah penuh kat dalam tu.
Saya terus ke bahagian bawah. Bimbang tak muat pula nanti.




NACC ialah Noor Arfa Craft Complex atau dalam bahasa Melayunya Kompleks Kraf Noor Arfa (KKNA - kurang sedap kan? biar lah dipanggil NACC saja). Siapa tak kenal Noor Arfa. Eh. Bukan.. ni bukan nama makwe single yang tengah cari jodoh. Sila jangan salah faham. Noor Arfa adalah nama sebuah syarikat pengusaha batik paling terkenal di Malaysia dan juga telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Untuk bukti paling senang sila tonton iklan TM SME. Yang ayah dengan anak tu. Merekalah orang kuat Noor Arfa Batek.

Noor Arfa diasaskan pada 1980 oleh pasangan Wan Mohd. Ariffin dan Noor Hijerah yang mulanya mengusahakan kilang batik secara kecil-kecilan di pinggir Kuala Terengganu. Titik tolak perniagaan ini dimajukan bermula setelah pasangan ini berjaya merekacipta corak dan rekaan yang lain daripada yang lain dan berjaya mendapat perhatian pasaran batik baik di dalam Terengganu mahupun luar. Sehingga sekarang, permintaan terhadap batik Noor Arfa ini sangat menggalakkan.

Menjelang 2006, Noor Arfa telah maju setapak lagi dengan membina NACC. bertempat di Kawasan Perindustrian Chendering, kira-kira 5 kilometer dari Bandaraya Kuala Terengganu. Dengan keluasan sehingga 2.5 hektar dan pekerjanya yang seramai kira-kira 200 orang, kompleks ini merupakan ang terbesar seumpamanya dalam negara. Untuk lagi informasi lengkap, anda boleh berkunjung ke laman web Noor Arfa sendiri di http://www.noor-arfa.com.my/. Kalau saya nak ceritakan satu-satu memang tak habis.

Memang cantik rekabentuk bangunan dan landskapnya. Lengkap dengan tempat letak kenderaan yang boleh menampung sehingga 20 buah bas dalam satu satu masa. Ada juga disediakan warung makan, kiosk, surau dan tandas di luar bangunan. Dalam bangunan utama pula, terdapat pusat jualan batik, bilik pameran, pusat penerangan pelancong, muzium kraf, kiosk demonstrasi dan lain-lain yang berkaitan dengan kraftangan. Saya tak sempat meronda keseluruhan kompleks sebab rasanya saya seorang saja rakyat tempatan yang ada ketika itu. Yang lain semuanya pelancong saya syak berdasarkan dialog percakapan mereka yang saya langsung tak faham. Tak apa. Kasi can lah. Lain kali saya boleh datang lagi lain kali balik kampung. Diorang saya tak tahu pula bila boleh datang lagi atau tak.


Pintu masuk ke NACC. Jika anda dari Kuala Terengganu, lepas memasuki simpang
ke Kawasan Perindustrian Chendering sila cari objek ini di sebelah kanan anda.
Insyaallah jumpa.



Bangunan utama kompleks. Walaupun nampak tak berapa kompleks, tetapi
senibina tradisional Terengganu tetap jadi trademark di sini.



Kawasan berehat di kanan kompleks. Penat-penat membeli-belah,
bolehlah minum-minum di sini dulu sebelum blah~




Abang lukis batik menunjukkan kemahiran melukis garis lurus pada batik
tanpa menggunakan pembaris kepada pengunjung. Saya pun naik kagum juga sikit.




Tak hanya batik, demonstrasi songket juga ada di sini. Bawa ke ralit juga
saya tengok
akak ni punya kemahiran kait-kait songket. Mahir tak patut.



Sudut DIY - Do It Yourself. Siapa berminat mahu menguji kemahiran mengecat batik
boleh pamerkan kebolehan anda di sini. Tak seorang pun berani lawan saya masa ni.



Barangan kristal pun ada dijual di sini dengan harga yang sangat berpatutan.
Sesuai dijadikan cenderamata ataupun hadiah kepada makwe-makwe.

Tuesday, May 25, 2010

Balik Bukit


Macam pelik saja namanya kan? Memang kawasan ni terletak di sebalik bukit. Apa nama bukit tu saya tak pasti. Tapi memang kawasan ini namanya Balik Bukit, terletak hanya di pinggir Bandaraya Kuala Terengganu. Yang ingin saya highlightkan di sini adalah Kawasan Rekreasi Balik Bukit atau nama urbannya sikit; Terengganu Waterfront Recreational Park.

Seingat saya, taman ini baru sahaja dibuka. Agakan saya dalam 5-6 tahun barangkali. Betulkan saya jika silap. Tapi dalam 5-6 tahun tu saya belum pernah menjejakkan kaki ke sini kerana saya tiada makwe untuk diajak bersiar-siar. Sehinggalah ketika saya pulang bercuti hujung bulan Mei baru-baru ini - bersama Firdaus Yunan. Itu pun setelah dipelawa oleh rakan lama saya; Jamal Jj yang bermastautin di Kampung Chabang Tiga. Memang tempat beliau ber'hang-out' di sini.

Kebetulan masa tu hujung minggu. Perlawanan bolasepak EPL masih lagi ada. Sungguh saya tak sangka ada disediakan skrin besar untuk menonton. Bagi kaki tengok bola macam saya, memang ini yang dicari-cari. Menonton bola di skrin besar sangat lain 'feel' dia berbanding di kaca TV sahaja. Ditambah pula dengan persekitaran yang sangat mendamaikan. Lampu warna-warni, pemandangan muara sungai Terengganu sambil dihembus bayu Laut China Selatan boleh membuatkan diri tenteram meskipun pasukan yang disokong sedang kena belasah. Oh. Bukan pasukan Manchester United. Saya beri contoh sahaja.

Di sini juga banyak kemudahan disediakan. Selain gerai-gerai makan, terdapat taman permainan kanak-kanak, tandas awam dan juga perkhidmatan Wi-Fi. Harga makanan amatlah berpatutan dan sedap. Saya tidak segan silu langsung memesan ice-blended cokelat. Tambahan pula dibelanja oleh Jamal Jj. Memang pemurah beliau ni.


Pemandangan Jambatan Sultan Mahmud dari
Taman Rekreasi Balik Bukit. Memang tenteram jiwa jadinya~


Skrin besar perlawanan bolasepak. Mudah-mudahan saya berpeluang
ke sini ketika Kejohanan Piala Dunia Jun nanti.



Burj Dubai pun boleh nampak dari sini. Err.. macam Burj Dubai saja.
Itu Felda Residence. Bersebelahan saja letaknya~


Firdaus Yunan jika jumpa internet memang tak hirau dunia.
Pesen tak boleh berenggang dengan Facebook.


Pemandangan di waktu siang. Menara jam tu dia punya landmark.
Siang-siang pun sangat ideal untuk bersiar-siar di sini.


Encik Jamal Jj yang baik hati. 'Pemandu pelancong' tetap saya
setiap kali balik kampung. Masih single. Kata nya lah~

Wednesday, May 19, 2010

Pantai Batu Buruk (Benteng)



Sambungan episod semalam~

Kira-kira pukul lima setengah petang masa tu, kami melangkah berirama dari belakang Hotel Primula menuju ke 'benda' panjang tersebut. Cuaca masih sangat baik. Tapi dengan kepanasan mencecah kira-kira 32 darjah celcius membuatkan perjalanan sedikit mencabar. Ditambah pula dengan rasa iri hati melihat ada abang-abang kaki pancing yang menaiki motosikal sampai ke hujung.


Firdaus Yunan memanaskan badan yang sudah sedia panas
dengan melakukan senaman tolak bot.



Jalan masuknya betul-betul di kawasan belakang Hotel Primula,
yang warna oren tu. Yang warna putih tu Hotel Sumai, baru buka rasanya.
Ideal sangat lah jika mahu menginap di sini.



Baru beberapa langkah kaki beliau sudah kebas-kebas.
Tak truely Terengganu betul beliau ni.




Para nelayan baru pulang dari laut.
Seronok weh tengok acara parking-parking bot ni~




Agak-agak dah jauh berjalan tak sampai-sampai, saya mempraktikkan
hikmat terbang-terbang pula. Tak laa penat sangat.



Meriah juga acara memancing kat sini. Banyak ke tak ikannya
tak tau pula saya. Orang tua-tua pesan kalau memancing tak boleh becakap.
Ikan lari. Jadi segan la pula saya mahu bertanya.



Pemandangan Bandaraya Kuala Terengganu dari hujung 'benda' panjang.
Dengan perahu-perahu nelayan masuk sekali memang mari mood Terengganu tu.




Matahari yang masih gagah belum mahu terbenam. Kalau pemandangan
waktu senja kat sini mesti lagi umpph! Malangnya tak sempat
saya menunggu sunset. Firdaus Yunan sudah hampir pengsan. hahaha!






Dari berita yang saya dapat, 'benda' panjang ni adalah benteng pemecah ombak (break water) muara Sungai Terengganu yang dibina untuk mendalamkan laluan air di kawasan itu untuk penganjuran Piala Monsun dan pelayaran kapal mewah Star Cruise. Terdapat dua benteng seumpama ini dibina iaitu di utara (Pantai Teluk Ketapang) dan selatan (Pantai Batu Buruk) - diberitakan antara yang terpanjang di Malaysia dengan jumlah jarak meliputi sehingga 5 kilometer. Kawasan tambakan di utara dan selatan benteng ini juga akan dibangunkan dengan projek perhotelan komersial.

Oh. Bukan calang-calang rupanya. Saya sendiri belum boleh bayangkan macamana keadaannya bila dah siap nanti. Silap haribulan, mau si Firdaus Yunan ni pindah duduk Terengganu nanti. hahaha~

Tuesday, May 18, 2010

Pantai Batu Buruk

Selesai hari pertama. Kami tiba di rumah saya dalam pukul 11 malam juga lah. Rekod perjalanan paling lama pernah saya buat. Sejam berhenti makan seafood di Kelulut. Best! Itu kemudianlah saya cerita. Bukan apa. Terlupa ambil gambar sebab agak kebuluran masa tu. Tak best la cerita jadinya kalau tak ada gambar2 hiasan.



Petang Jumaat, Firdaus Yunan ajak ronda-ronda KT pula. Mana lagi tempat muda-mudi makan angin petang-petang hari cuti begini kalau tak di Pantai Batu Burok. Saya sendiri pun sudah agak lama tak berlibur di sini. Setakat lalu-lalu tu banyak kali la. Makin banyak fasiliti tersedia. Ada gerai-gerai makan baru. Pentas astaka yang terjaga. Pondok-pondok lifeguard. Ada juga yang menyediakan perkhidmatan menunggang kuda untuk kanak-kanak. Layankan saja beberapa panorama yang sempat saya rakamkan.

Oh ya. Saya memang suka ambil gambar secara candid. Nampak sangat hidupnya. Jadi sesiapa yang ada termasuk dalam gambar saya ni harap dihalalkan dunia akhirat. Anda memang sporting~


Sangat baik cuacanya hari itu.
Langit baik.
Awan pun baik. Semuanya baik-baik sayang.




Perdagangan layang-layang bermula seawal jam tiga petang.
Atau lebih tepat selepas solat Jumaat.
Dan sangat mendapat sambutan.




Gerai makanan yang ditambah tertampal di dinding
Kompleks Renang Kuala Terengganu. Celup-celup tepung memang ada di sini.




Pondok lifeguard yang saya katakan. Atau lebih kepada menara tinjau
jika melihatkan fungsinya. Sangat santai untuk berehat sambil membaca
seperti
amoi di sebelah Firdaus Yunan itu. Oh. Bukan. Itu bukan makwe beliau.




Pemandangan dari atas menara tinjau. Memang meriah dan penuh warna warni.
Dijamin boleh me'rileks'kan diri dengan tenteram.




Contoh penjagaan kanak-kanak yang betul. Jangan biarkan mereka makan pasir.
Anak buah saya selalu buat macamtu.




Belia-belia vespa sedang menunggu rakan-rakan untuk sesi
mesyuarat agung peringkat daerah. Saya agak-agak saja.




Budak-budak setempat memang suka main panjat-panjat
tangga tak kira di rumah ataupun kemudahan awam.




Perkhidmatan menunggang kuda untuk kanak-kanak sahaja.
Hanya lima ringgit untuk tiga pusingan. Harga ikut pusingan.
Bukan ikut kepala macam pusat karaoke ternama.




Budak-budak zaman sekarang.
Kecik-kecik
dah pandai mau layan blues.




Anda nampak apa haiwan dalam gambar? Jika nampak, tahniah.
Jika tidak, sila buat
pemeriksaan mata secepat mungkin.



Lama berjalan-jalan mengambil angin pantai, saya tertanya-tanya apakah 'benda' panjang yang menjulur di hujung pantainya. Belah kiri yang menghala ke bandar. Menurut seorang teman, itu adalah benteng tambakan laut. Apa tujuan sebenar benda itu dibina masih belum pasti. Firdaus Yunan bertanya sama ada boleh naik ke sana atau tak. Belum sempat rakan tadi menjawab, saja sudah memulakan perjalanan ke sana. Mereka hanya mengikut tanpa banyak soal. Garang juga saya ni rupanya.

Esok saya ceritakan...
Bersambung-sambung la. Baru nampak thrill sikit~

Inilah benda panjang yang saya maksudkan. Sayup mata memandang dia punya jauh.
Boleh tahan mencabar juga nak habiskan sampai ke hujung. Tapi saya steady-steady saja.
Firdaus Yunan yang mengah-mengah loya. Tak pernah kelaut katakan~