Monday, June 7, 2010

Bas Ekspress KL Ke Pantai Timur



Hasil carian daripada internet yang memautkan ke blog ini.
Baiklah. Saya terangkan...


Tapi bukan ke pantai timur. Saya bagi informasi khusus untuk ke Terengganu dari Kuala Lumpur sahaja memandangkan blog ini khas untuk Terengganu dan Kuala Lumpur adalah ibunegara.

Transnasional - Syarikat bas ekspress nasional yang sudah terkenal di seluruh semenanjung. Menyediakan perkhidmatan hampir ke semua destinasi utama termasuklah bandar-bandar utama di Terengganu. Terdapat dalam versi dua tingkat.

Ekspress Sani - Mula beroperasi sekitar 2006, Ekspress Sani ini merupakan syarikat bas yang paling cepat maju berbanding syarikat lain. Faktor keselesaan dan perkhidmatan yang cekap dan efektif membolehkan syarikat ini mudah mendapat perhatian di kalangan penumpang. Berpengkalan di Terengganu, kini perkhidmatan bas ini mula mengorak langkah le destinasi lain di semenanjung. Juga terdapat dalam versi dua tingkat.

SP Bumi - Mulanya hanya menyediakan perkhidmatan bas henti-henti sekitar dalam negeri. Bermula sekitar 2006 juga, SP Bumi mula menawarkan perkhidmatan bas ekpress dari Kuala Lumpur ke Terengganu. Selesa dan mantap. Juga terdapat dalam versi dua tingkat.

Cepat Ekspress - Boleh tahan cepat juga bas ni. Mulanya hanya untuk ke Kemaman. Dan sekarang sudah meluaskan empayar ke seluruh Terengganu dan juga le utara semenanjung.

Ekspress Mutiara - Majoritinya ke Kelantan. Tetapi sudah banyak ke Terengganu sekarang. Jika mahu ke utara Terengganu, sesuai menaiki bas ini kerana banyak hentian akhirnya adalah di Besut.

Ekspress Sutera - Antara perkhidmatan bas paling awal ke Terengganu. Banyak jasanya kepada saya dulu sebab tiap kali mahu balik kampung ketika cuti semester, inilah pilihan utama saya. Satu-satunya bas warna ungu metallic saya pernah nampak.

Mara Liner - Bernaung sepenuhnya di bawah Majlis Amanah Rakyat, syarikat bas ekspress ini menawarkan perkhidmatan ke banyak denstinasi di seluruh semenanjung. Dulu, mana-mana pelajar yang menuntut di IPT tajaan mara boleh mendapatkan diskaun tiket sehingga 50%. Sekarang, tak pasti pula saya sistem ini masih digunapakai atau tidak.

Adik Beradik - Bas ekspress utama untuk ke Johor satu ketika dulu. Sekarang sudah beroperasi ke Kuala Lumpur dan utara semenanjung. Cantik dan selesa juga.

Konsortium Bas Ekspress Semenanjung - Tak tahu pula saya kenapa mahu pakai nama panjang-panjang. Asik saya sebut 'kontrium' saja nak kasi mudah sebutan. Juga menawarkan perkhidmatan ke destinasi-destinasi utama Semenanjung.

Ekspres Tasik Kenyir - Satu-satunya perkhidmatan bas ekspress ke Tasik Kenyir. Untuk sesiapa yang mahu ke daerah pedalaman Terengganu seperti sekitar Hulu Dungun dan Hulu Terengganu, lebih senang menaiki bas ini kerana laluannya yang berbeza dengan lain-lain bas ekspres. Lebih dekat anda dengan destinasi yang dituju.


Itulah serba sedikit dapat saya terangkan untuk tajuk di atas. Jika ada yang tak cukup sila tambah. Harga tiketnya adalah sekitar RM40 bergantung kepada bas mana yang anda naiki. Waktu bertolak adalah dari 8:00 pagi hingga jam 11:30 malam. Dari Kuala Lumpur, anda boleh mendapatkan tiket di kaunter bas ekpres di Hentian Putra (berdekatan PWTC) atau pun di Greenwood, Gombak (bergantung kepada syarikat bas). Di Puduraya pun ada juga tetapi tidak banyak pilihan. Untuk yang ke Kuala Terengganu, hentian akhir adalah di Hentian Bas MPKT di tengah-tengah bandaraya. Strategik tak patut!

Puluh saja mana yang berkenan di hati. Yang penting berhati-hati di jalan raya
dan sentiasa doakan perjalanan anda selamat dan sejahtera.



Jika anda tiba awal pagi cubalah nasi dagang di satu-satunya gerai 24 jam di situ. Saya tak pernah ketingglan. Sedap hingga menjilat daun pisang~
Pengalaman saya di situ satu masa dulu...


Tengah2 sedap suap nasik dagang dengan kuah banjir, saya perati sorang mamat nih. Mamat nerd. Pakai sluar slack sama t-shirt kolar tuck-in pepagi buta. Kasut badminton. Budak luar saya syak.

Dia : Berapa pakcik? Nasi lemak satu. Teh o satu.


Tokei: Aa... singgit pat o'seng.

Dia : Aa..??

Tokei: Singgit pat ploh seng.


Dia : Ye ke? Murahnya..!

Tokei: Nak mahal awok gi denung ah.. Hotel Primula.



Hakhakhakhkahakhak... saya gelak sampai tersembur nasi ikut idung.

No comments:

Post a Comment