Monday, May 17, 2010

Pantai Kemasik

Sambung dari episod Bakau Tinggi hari tu. Maaf lah agak lama tak mengemaskini. Saya sibuk sedikit dengan tanggungjawab sosial.

Tak sampai 20 minit dari Taman Rekreasi Bakau Tinggi, Kami singgah pula d Pantai Kemasik. Sebenarnya sudah lama saya mahu singgah-singgah di sini. Tetapi belum berkesempatan saja. Entah apa yang saya kejar nak balik cepat-cepat saya dah lupa. Tetapi kali ni mesti singgah. Jika terlajak sekali pun mesti kena pusing semula. Bukan selalu Firdaus Yunan ke Terengganu. Ni kali ke-2.

Pintu masuk stended hotel-hotel

Mula-mula ternampak pintu masuknya memang saya sudah syak yang kawasan ini telah dibangunkan. Sangkaan saya tepat setelah melihat dua blok gerai makanan baru dibina dengan berteknologi bumbung polyster. Sebijik macam bumbung dekat Kompleks Sukan Bukit Jalil. Tapi masih banyak kedai belum dibuka. Belum beroleh CF barangkali. Ataupun tokei kedai masih belum memohon lesen berniaga.


Pemandangan dari gerai makan-makan.
Sangat umpph langit dia~


Firdaus Yunan pula macam sawan. Berhenti saja kereta, terus berlari-lari dia ke laut. Memang agak gila budak ni. Saya dengan steady terus ke gerai makanan yang sudah bertuan memesan sedikit minuman dan makanan ringan. Keropok lah. Tak ada lain. Bukan apa. Baru teringat perut belum terisi sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur.

Lepak2 di situ memang nikmat lah dia punya senario. Boleh nampak nelayan-nelayan pulang dari laut. Tak pasti saya sama ada mereka menggunakan sistem punch-card atau tidak. Tak kurang juga keluarga yang membawa anak-anak bersiar2 di pantai dan taman permainan di situ. Ada juga yang mandi laut.

Abang-abang nelayan yang gagah perkasa sedang tarik bot.
Saya ingat entah ke mana mereka mahu pergi.

Rupanya-rupanya nak masuk parking.
Ini lah kawasan parking bot-bot setempat. Mudah dan selamat.



Tak jauh dari situ juga ada belia-belia sihat sedang bersukan - main nola sepak pantai. Skill sorang-sorang boleh tahan. Huh... Memang patut la Terengganu jadi juara Kejohanan Bola Sepak Pantai Kebangsaan tahun lepas. Kategori lelaki lah, bukan wanita. Wanita-wanita di Terengganu tidak selasak lelaki. Mereka lemah lembut.


Belia-belia sihat sedang tunjuk skil masing-masing
bila tengok saya pegang kamera tala ke arah mereka.


Agak leka berehat di situ hinggakan kedai sudah mahu tutup baru saya sedar kami sudah lewat. Laju-laju saya sedarkan Firdaus Yunan yang masih leka berjalan-jalan di pantai. Belum puas ambik angin katanya. Tapi lebih ke gaya mahu mengurat makwe-makwe setempat saja. Saya tak kira. Paksa juga beliau balik. Dah hampir maghrib. Bahaya.
Jumpa lagi Pantai Kemasik!


Juga ada pondok ala jeti tempat istirehat dan juga tempat budak-budak
main lari-lari. Makwe-makwe pun suka lepak-lepak di sini ambil angin.

Wednesday, May 12, 2010

Masjid Kristal

Saya lompat terus ke Kuala Terengganu lah.
Tak sabar rasanya mahu berkongsi informasi dan foto tentang Masjid Kristal ni.
Serius cantik. Serius popular. Serius mempesona.




Nama : Masjid Kristal

Keluasan : 2,146.12 meter persegi

Kapasiti : 700 orang jemaah



Tempoh Pembinaan : 2006-2008

Perasmian : 8 Februari 2008 oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin

Menara : 4



Bahan : Kaca dan keluli

Lokasi : Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Losong, Kuala Terengganu, Terengganu.
*sila fahamkan di sini bahawa Masjid Kristal adalah sebuah masjid yang terdapat di Taman Tamadun Islam. Bukan salah satu daripada monumen di sana. Kemudian lah saya ceritakan tentang Taman Tamadun Islam. Saya belum sempat masuk ke sana.



Keistimewaan : Masjid pintar pertama di Malaysia yang mempunyai jaringan WiFi di samping rekabentuknya yang sangat unik bertemakan kristal dengan senibina Islam yang dimodenkan.

Kontroversi : Ada yang berpendapat pembinaan masjid ini tidak wajar dengan kos pembinaannya yang agak mahal di samping lokasinya yang agak jauh dari penempatan masyarakat setempat. Pendapat peribadi saya, tidak timbul isu ini kerana ia sememangnya satu keperluan di lokasi pelancongan seperti Taman Tamadun Islam di samping menjadi satu lagi mercu tanda di Terengganu Darul Iman.




Lima bintang saya bagi!
Anda?

Sunday, May 9, 2010

Bakau Tinggi

Masih di Kemaman. Masih teruja. Masih belum puas hati. Selepas menapau sepuluh ringgit otak-otak dari Kuala Kemaman, kami memeruskan perjalanan melepasi bandar Chukai dengan lancar sedang-sedang. Masa orang balik kerja. Memang tak boleh mengelak lah. Tapi jauh lebih elok senarionya berbanding Kuala Lumpur.

"Weh..!! Tu.. tu...!!" Firdaus Yunan tiba-tiba menjerit. Sikit lagi nak sampai level sawan.

"Apa?" saya bertanya tenang. Walaupun hati ada terperanjat sikit. Sikiiiiit saja.

"Tuuu.." katanya sambil mulut muncung ke kiri.

"Ooo.. sini." saya mengambil pendekatan selamat untuk tidak menyebut nama tempat yang saya lalui tiap-tiap kali balik kampung tu tapi masih lupa.

"Masuk lah." saya mengarah lanjut.

Kereta diparking. Saya keluar dahulu untuk mecari papan tanda nama tempat ini.

"Taman Rekreasi Bakau Tinggi." kata saya kepada Firdaus Yunan secara bangga dan tidak bersalah sama sekali.

Bakau Tinggi terletak di pinggir bandar Chukai, bandar utama di daerah Kemaman, Terengganu. Asalnya adalah hutan paya bakau di sekitar Sungai Bakau Tinggi itu sendiri berhampiran muara Sungai Kemaman. Tarikan utama di sini adalah sungainya yang panjang dan tenang hinggakan boleh dilihat ikan berjimba dengan riang ria di sekitarnya. Tak hairanlah di sini menjadi syurga memancing bagi kaki pancing tempatan. Banyak jeti dan pondok memacing disediakan di sepanjang sungainya. Tapi perlu berhati-hati juga kerana ada jeti lama yang kejuruteraannya sudah agak primitif. Hanya menunggu masa. Firdaus Yunan pun takut-takut nak melangkah.


Abang baju kuning tu kucar-kacir lempar joran lepas
tengok saya nak ambil gambar.
Entah sempat letak umpan ke tidak.



Apa yang membuatkan Bakau Tinggi ini unik sedikit adalah struktur muka buminya yang dikelilingi hutan paya bakau yang masih terpelihara. Disediakan bersama kemudahan untuk bersiar-siar dan berehat di sepanjang tamannya. Boleh berkelah juga. Sangat ideal untuk pelajar-pelajar membuat kajian tentang ekosistem bakau itu sendiri ataupun hidupan liar. Saya sempat berjumpa dengan ikan yang ada kaki - belacak. Pertama kali saya tengok dengan mata sendiri jadi teruja juga. Tak comel mana sebab takde muncung macam ikan-ikan biasa. Tapi seronok tengok ikan berjalan atas darat. Terkedek-kedek sambil dongak. Kelakar weyh!

Walaupun masih taraf anak-anak tapi muka
masing-masing macam dah tua. Kesian~



Terdapat juga gerai-gerai mejual hasil tangkapan oleh penduduk sekitarnya seperti ikan-ikan air tawar, siput dan keropok. Dijamin segar. Untuk aktiviti makan-makan, yang paling popular di sini adalah restoran terapung berhampiran pengkalan Kelab Kayak Sungai Bakau Tinggi. Saya pun tak sangka sebenarnya di sini ada kelab kayak. Ingatkan di universiti ataupun bandar-bandar urban sahaja.

Thursday, May 6, 2010

Kuala Kemaman

Jika anda ke Pantai Teluk Mak Nik, pasti anda perasan banyak kedai menjual keropok, sata ataupun otak-otak di sepanjang jalan. Ya. Anda sudah sangat hampir dengan Kuala Kemaman. Bukan sangat hampir juga. Mungkin anda dah berada di Kuala Kemaman. Err... faham tak?

Kuala Kemaman adalah perkampungan nelayan tradisional yang terbesar di daerah Kemaman. Tak hairanlah banyak gerai-gerai menjual hasil laut di sini. Yang paling saya suka adalah otak-otak Kemaman. Memang tersedap di Tanah Melayu lah saya bagi. Setiap kali kembali ke Kuala Lumpur, pasti saya singgah di sini untuk membeli otak-otak. Sedikit pun tak apa lah. Janji dapat merasa.

Ini otak-otak. Dah susah nak cari yang ketip pakai lidi begini.
Sekarang banyak yang ketip pakai stapler saja.
Bahaya tu kadang-kadang.



Oh ya. Otak-otak Terengganu agak berbeza dengan Johor punya. Terutamanya otak-otak Kempas. Isinya betul-betul isi ikan yang sudah dimasak melalui proses rebusan tak silap saya. Disalut dengan sambal kelapa berempah dan dibungkus secara selit-selit dengan daun kelapa kemudian disalai. Penentu kesedapannya adalah sambal kelapa tadi. Ditambah pula dengan isi ikan yang segar, memang dia punya lazat boleh membawa hingga menjilat daun kelapa!

Tak kurang hebat juga dia punya sata. Ya. Sata. Yang berbentuk kon kecil-kecil itulah sata. Yang isi dia ikan campur dengan kelapa dan cili tu. Manis-manis pedas rasa dia. Bagi sesiapa yang terlupa untuk memborong keropok di Kuala Terengganu pula, anda masih sempat berbuat demikian di sini. Rasa dia tak kalah dengan keropok Losong ataupun Seberang Takir. Lain-lain makanan tradisional yang boleh didapati di sini adalah pulut panggang, baulu, ketupat dan lain-lain.

Ini sata yang siap dipanggang tapi belum siap dijual.
Kena leraikan satu-satu dahulu.
Pemanggang dia tuan kedai tak jual saya rasa.



Di sini terdapat juga kedai-kedai mejual cenderamata dari hasil laut seperti kulit siput, tapak sulaiman ataupun batu karang. Pandai penduduk di sini mencari hasil sampingan. Saya respek.

Wednesday, May 5, 2010

Pantai Teluk Mak Nik

Saya mulakan kisah pengembaraan saya dan kawan saya, Firdaus Yunan balik ke kampung saya baru-baru ini.

Bertolak dari Kuala Lumpur kura-kira jam tiga petang, jam lima kami sudah tiba di Geliga, pekan paling selatan di negeri Terengganu. Hanya dua jam perjalanan dengan melalui Lebuhraya Pantai Timur. Mohon jangan tiru aksi ini. Laju tak patut saya memandu. Encik-encik polis, minta maaf ye. Bukan apa. Bimbang tak sempat singgah di beberapa lokasi yang sudah ada dalam proposal saya.

Tak susah ke Pantai Teluk Mak Nik (ataupun dipanggil juga Monica Bay) ini. Bila nampak Masjid Geliga, terus ambil simpang ke kanan menuju ke Kuala Kemaman. Teruskan perjalanan hingga jumpa simpang tiga dan ambil ke kanan sekali lagi. Kurang satu kilometer, belok ke kiri untuk sampai ke pantai. Kat situ juga ada pejabat INTAN Wilayah Timur. Papan tanda pun banyak. Senang llepeh kata orang Terengganu.

Apa yang menarik di pantai ini adalah kemudahan sukan pantai yang banyak disediakan terutamanya gelanggang bola tampar pantai dan lapangan motocross. Semasa temasya SUKMA Terengganu 2008, pantai Teluk Mak Nik adalah tuan rumah bagi acara bola tampar pantai. Bukan calang-calang ye. Daripada tinjauan saya sendiri, ada lebih kurang sepuluh gelanggang bola tampar pantai ada di sini. Ada juga yang siap dengan kerusi penonton. Sebagai peminat dan bekas pemain bola tampar, saya jadi sedikit kesal sebab tak berkesempatan beraksi di sini. ceh~


Ini gelanggang utama saya fikir. Pasir dia lain macam sedap nak melompat.
Saya dah test.
Yang baju merah tu Firdaus Yunan.


Menyelusuri pantai ini , anda boleh menikmati pemandangan hutan pokok rhu dan laut. Satu kombinasi yang tak semua pantai ada. Kemudahan pun banyak. Pondok rehat, gerai makanan, kawasan permainan kanak-kanak dan tandas awam ada disediakan. Sangat sesuai untuk aktiviti makan angin runcit-runcit. Untuk aktiviti air rasanya kurang sesuai kerana bentuk muka bumi tebing pantainya yang berbahaya. Sila riki-riki ke tempat lain. Banyak lagi pantai kat Terengganu ni.


Pemandangan dari hujung jalan. Sempat saya tangkap
abang-abang vespa makan angin.
Klasik bukan main lagi!
Belah kiri tu kawasan INTAN.


Oh ya. Dari berita yang saya dapat, pantai ni juga adalah lokasi tumpuan untuk penyu bertelur. Spesis yang biasanya datang ke sini adalah penyu agar ataupun Green Turtle kata saintifiknya. Musim penyu naik bertelur di sini adalah antara Mac hingga Oktober. Jika bernasib baik, anda boleh menyaksikan upacara pelepasan anak-anak penyu oleh renjer yang ditugaskan untuk menjaga survivor penyu-penyu ini. Jangan pandai-pandai mahu ambil buat masuk poket pula. Haiwan lindungan tu. Tambah bernasib baik anda jika dapat berjumpa dengan bonda penyu yang sedang bertelur. Baru la boleh menyanyi lagu Blues Terengganu Kite dengan suka hati. ...kite tengok penyu ttelor~


Anak-anak penyu yang akan dilepaskan ke laut. Entah berapa ekor saja
yang boleh hidup sampai tua. Anak ayam lebih bertuah saya rasa. Kasihan~
*kredit gambar kepada Cik Sakinna


Tuesday, May 4, 2010

Pulau Perhentian


Saya tangguh dulu untuk berkisah tentang pengembaraan saya dan teman, Firdaus Yunan ke Terengganu baru-baru ini untuk memberi laluan kepada Pulau Perhentian, atas permintaan saudari nur. Rujuk Shoutbox (25 Apr 10, 10:40 AM).

Pulau Perhentian terletak di Laut China Selatan kira-kira 25km daripada Kuala Besut, Besut - daerah paling utara di Terengganu. Perjalanan menaiki bot lebih kurang 30 minit. Jika anda dari Kuala Lumpur ataupun wilayah utara semenanjung, lebih singkat perjalanan anda jika mengikut jalan ke Kota Bharu, Kelantan berbanding Kuala Terengganu. Daerah Besut lebih dekat dengan Kelantan. Kurang sejam sahaja dari Kota Bharu. Loghat pun dah tak berapa nak Terengganu. Tapi Terengganu tetap Terengganu.

Untuk makluman, saya belum berpeluang menjejakkan kaki ke Pulau Perhentian. Tak payahlah perli-perli saya. Kita ikuti sahaja bual bicara saya dengan saudara Effendy Muhd Nor, seorang pemuda kacak dari Jerantut, Pahang. Beliau bekerja sebagai fotografer bebas yang tak berapa nak bebas sebab tengah berkidmat di sebuah IPT awam di ibukota. Menurut maklumat yang saya dapat, beliau memang banyak pengalaman di sana - hingga membawa ke berjumpa jodoh. Sekarang sudah selamat berumahtangga dan baru sahaja menimang cahaya mata sulung, Laila Nur Qaseh. Tahniah.


Sebagai fotografer profesional, gambar mesti mau gempak.
Dan sangat terer juga bermain gitar. Bukan sitar.


Cakap banyak tak guna. Mari terjah beliau.
(Untuk pembacaan yang lancar, perbualan terpaksa diterjemahkan secara formal. Warga Jerantut nak cakap Terengganu memang agak huru hara jadinya)


S : Sudah berapa kali ke Pulau Perhentian?

J : Ada laa lima kali. Dua kali Perhentian Besar, tiga kali Perhentian Kecil.

S : Eh. Ada besar kecil ke?

J : Eh. Kau tak tau ke?? Malu... Ada dua pulau. Satu Perhentian Besar. Yang ni sesuai untuk family vacation ataupun yang formal-formal. Resort pun pesen mewah. Nak ketenangan boleh datang sini. Perhentian Kecil pula sesuai untuk yang mahukan lebih hiburan ataupun yang lebih ekstrim. Macam-macam aktiviti boleh buat kat sini. Semuanya terpulang kepada sendiri-sendiri untuk berhibur.

S : Mana lagi best?

J : Dua-dua best bagi aku. Macam aku cakap tadi, nak relaks-relaks pergi Perhentian Besar la. Kalau nak enjoy-enjoy aku pergi Perhentian Kecil. Cafe pun banyak mana kat mana-mana.

S : Macamana keadaan pantai kat sana?

J : Memang terbaik lah! Kau bayangkan, atas bot dalam 100m lagi nak sampai, dah nampak laut biru jernih. Pasir pulau memutih. Kau jenguk luar bot ke bawah, dah boleh nampak dia punya coral. Memang terkejut kalau kau tengok~

S : Dengar-dengar kau ada lesen menyelam...

J : Aku ambik kat sana lah.

S : Mahal?

J : Takde lah. Macam open dive baru RM900 tak silap aku. Tapi aku punye, bini aku tukang adjust. Dia ekspert diver. Dapat murah. hahaha..!

S : Best diving kat sana?

J : Fuhh..! Best giler. Kau selam sikit je dah jumpa coral. Ikan-ikan main depan mata. Lawa-lawa weyh. Kalau nak dalam sikit naik bot lah ke tengah sikit. Lagi cantik dia punya pemandangan. Kalau bernasib baik dapat tunggang penyu. Aku blom penah la~

S : Ada penyu kat sana?

J : Ada, tapi dia tak bagi usik. Tengok saja. Memang dia bela. Nak pegang pun tak boleh. Ni bini aku ambik gambar curi-curi je ni. (sambil tunjuk gambar isteri beliau cium anak penyu).

S : Kat sana kau duduk mana?

J : Alaa.. banyak chalet kat sana. Tapi aku ada geng kat sana. Orang pulau. Kalau nak pergi aku bagitau dia saja lah.

S : Apa lagi yang best kat sana?

J : Aku tak boleh nak cakap la. Nak tahu, kau kena pergi sendiri. Baru kau rasa macamana feel dia. Memang best... err.. tak tahu nak cakap lah! Best lah..!!

S : Huh..!! Mintak sikit gambar kau kat sana..

J : Ambik lah. Tu semua yang asli tu. Memang dah lawa. Tak payah edit-edit dah. Eh... kau nak buat apa sume ni?

S : Ada la.. hehehe~


Jangan tiru aksi di atas. Sentiasa jaga keselamatan anak-anak anda.
Kena langgar dengan bot parah juga tu~
Tumpukan perhatian kepada lautnya yang biru~


Dia punya biru sampai kalah warna langit. Pheww!!


Saya tengok gambar ni baru percaya tahap kejernihan air dia.
Kalah air mineral!

Monday, May 3, 2010

Balik Kampung

Saya baru pulang ke Kuala Lumpur selepas beberapa hari balik kampung. Di Terengganu. Dengan membawa bersama rakan dari Temerloh yang sangat obses dengan fotografi dan pantai, saya berpeluang mengikuti sesi pelancongan ke beberapa tempat menarik bersama beliau.
Baru saya tahu yang banyak lagi destinasi-destinasi 'umppphh!' yang saya sendiri belum kunjungi di negeri saya sendiri. Agak malu rasanya di satu-satu tempat tu, saya punya keterujaan melebihi beliau. Saya hanya mampu memerahkan muka sambil buat-buat tahu serba serbi.

Antara tempat yang sempat kami singgah adalah Pantai Teluk Mak Nik, Taman Rekreasi Bakau Tinggi, Pantai Kemasik, Mesra Mall Kerteh, Pantai Kelulut, Hutan Lipur Sekayu, Masjid Kristal, Masjid Terapung Kuala Ibai, Noor Arfa Craft Complex, Pantai Batu Burok dan Perkampungan Keropok Lekor Losong. Waktu ketibaan yang saya jangka kira-kira pukul lapan malam sangat meleset jadinya. Untuk makluman, perjalanan kami dari Kemaman ke kampung saya mengambil masa lima jam, tiga jam melebihi waktu piawaian biasa dek aktiviti singgah 'sekejap-sekejap' dari satu pantai ke satu pantai. Oh. Sangat obses beliau ini.

Sangat banyak pengalaman saya dua tiga hari ni. Lain entry insyaallah saya ceritakan. Belum cukup rasanya cuti empat hari. Banyak lagi dalam perancangan saya yang belum sempat dilaksanakan. Lebih-lebih lagi ke wilayah utara. Tetapi Alhamdulillah juga misi wajib saya tetap terlaksana.



Tak cukup di Pantai Batu Buruk, acara makan celup-celup tepung di'repeat' lagi
di Teluk Ketapang esoknya. Sedap tak patut.
Nak-nak musim candat sotong sekarang. Memang terbaik dari ladang lah!
Yang baju hitam tu saya lah~